Wednesday, December 3, 2014

JOM KITA MELAWAT NEGERI SEMBILAN.........

Negeri Sembilan - Destinasi Percutian

Negeri Sembilan, negeri yang kaya dengan adat dan warisan tersendiri terutama dengan adat dan budaya Minangkabau. Antara destinasi perlancongan yang sangat popular di Negeri Sembilan sudah semestinya Pantai Port Dickson. Jadi untuk entry kali ini saya menyenaraikan kawasan-kawasan pelancongan lain yang menarik untuk dilawati sekiranya anda datang ke Negeri Sembilan, jadi jom lihat senarai di bawah :



PORT DICKSON

Port Dickson mempunyai pantai berpasir halus sepanjang kira-kira 8km. Ia merupakan salah satu daripada tempat peranginan yang paling popular di pantai barat. Kedudukannya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur, iaitu lebih kurang 1 ½ jam perjalanan, menjadikannya destinasi kegemaran penduduk bandar untuk berlibur. Pantainya juga sesuai untuk pelbagai jenis sukan air dan aktiviti pantai. Antara pantai yang paling popular di sini ialah Teluk Kemang, Tanjung Biru dan Cahaya Negeri.

Pantai Port Dickson - Negeri Sembilan
Pantai Port Dickson



MUZIUM DIRAJA SERI MENANTI

Seri Menanti

Muzium Diraja Seri Menanti ialah salah sebuah daripada istana kayu yang masih kekal di negara ini. Istana ini siap dibina pada tahun 1908 dan dahulunya merupakan tempat kediaman rasmi keluarga diraja Negeri Sembilan. Istana yang dijadikan Muzium Diraja pada 14 Julai 1992 ini menempatkan pelbagai alat kebesaran diraja Negeri Sembilan.

Muzium Diraja Seri Menanti - Negeri Sembilan
Istana Seri Menanti




INAP DESA

Program yang unik ini memberikan peluang untuk pengunjung mengalami sendiri tarikan sebenar kehidupan di kampung. Pengunjung berpeluang tinggal bersama masyarakat tempatan sambil menikmati budaya dan tradisi tempatan yang berbagai-bagai dalam suasana tradisional. Nikmati masakan kampung dan sertai pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang hari, daripada menuai hasil tanaman hingga ke bermain permainan tradisional.
Inap Desa | Homestay - Negeri Sembilan


KOMPLEKS MUZIUM NEGERI
Seremban Kompleks Muzium Negeri mempamerkan tradisi dan sejarah silam Negeri Sembilan. Kompleks ini terdiri daripada tiga bangunan utama – Teratak Perpatih, Istana Ampang Tinggi dan Rumah Negeri Sembilan - yang memaparkan reka bentuk Minangkabau tradisional. Salah satu daripada bangunan ini ialah Muzium Negeri yang juga dikenali sebagai Teratak Perpatih.

Kompleks Muzium Negeri Sembilan

HUTAN REKREASI
Negeri Sembilan mempunyai beberapa kawasan peranginan alam semula jadi yang indah seperti Hutan Rekreasi Ulu Bendul, Pusat Pendidikan Pelancongan Sungai Menyala dan Taman Alam Liar Lembah Jemaloi. Di sini, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti yang mencabar seperti merentas hutan, berbasikal di lereng bukit atau bersantai sambil menikmati suasana hening di tengah-tengah alam semula jadi yang subur menghijau. Kebanyakan hutan lipur ini dilengkapi dengan kemudahan moden seperti tapak perkhemahan, penginapan dan bilik air.
Hutan Rekreasi - Negeri Sembilan
Jeram Ulu Bendul

Antara tempat-tempat lain yang menarik yang boleh dikunjungi:

Seremban
• Kompleks Muzium Negeri • Kompleks Kraf Negeri Sembilan • Ladang Burung Kasawari Jelita • Taman Agro Starfresh • Inap Desa Pelegong • Hutan Rekreasi Lenggeng

Nilai
• Pusat Jualan Borong Nilai 3 • Pusat Tekstil Dataran Nilai

Port Dickson
• Muzium Tentera • Pusat Pendidikan Pelancongan Sungai Menyala • Safari Sungai Linggi • Ladang Burung Kasawari PD • Kompleks Bersejarah Pengkalan Kempas • Muzium Lukut & Kota Lukut • Extreme PD Buggy Trek Pit Stop • Eagle Ranch Resort • Inap Desa Pachitan • Hutan Rekreasi Pasir Panjang • Kompleks Baitul Hilal

Jelebu
• Kem D’ Agroloka • Titi Eco Farm Resort • Inap Desa Kuala Klawang • Muzium Adat • Taman Alam Liar Lembah Jemaloi • Hutan Rekreasi Jeram Toi

Jempol
• Teratak Za’ba • Inap Desa F’best • Inap Desa Lonek • Hutan Rekreasi Serting Ulu • Hutan Rekreasi De Bana

Kuala Pilah
• Hutan Rekreasi Ulu Bendul • Kampung Budaya Terachi • Inap Desa Laman Bangkinang • Inap Desa Mudin Hasan • Hutan Rekreasi Jeram Tengkek

Rembau
• Kolam Air Panas Pedas Wet World • Rembau Crystal • Kelip-kelip Sungai Timun • Inap Desa Batang Nyamor • Muzium Rembau (Replika Istana Raja Melewar) • Hutan Rekreasi Gunung Datuk

Gemas
• Inap Desa Gemas • Tampin • Hutan Rekreasi Batu Maloi • Hutan Rekreasi Gunung Tampin


Tempat-tempat untuk kaki Shoping..

Daripada pasar malam hingga ke pusat membeli-belah, Negeri Sembilan mempunyai beberapa pilihan membeli-belah terutama sekali di Nilai dan Seremban. Pusat Jualan Borang Nilai 3 berkeluasan 165 hektar yang sangat popular merupakan pusat jualan borong yang terbesar di Malaysia. Barangan yang dijual di sini termasuk tekstil, barang hiasan rumah, perabot, pakaian, beg pakaian, barangan rumah dan aksesori automobil. Kompleks Kraf Negeri Sembilan menawarkan pelbagai barangan buatan tangan yang sesuai dijadikan cenderamata, manakala Rembau Crystal menjual pelbagai barangan kristal bermutu tinggi. Kompleks Membelibelah Terminal Satu, Seremban Parade, Seremban Centre Point, Oceanic Mall Port Dickson dan Jusco Seremban 2 menawarkan kemudahan membeli-belah setempat kepada para pembeli, dan pasar raya besar seperti Giant Senawang dan Tesco Seremban 2 menjual pelbagai jenis barangan rumah di bawah satu bumbung.

No comments:

Post a Comment