Thursday, November 20, 2014


TANJUNG PIAI: PENGHUJUNG BENUA ASIA





Benua Asia yang meliputi Arab Saudi di bahagian barat, Russia di utara, Kepulauan Maldives di selatan, dan Jepun di timur merupakan benua yang terbesar di dunia, meliputi 55.8 juta kilometer persegi atau satu pertiga daratan dunia. Terdapat beberapa wilayah yang termasuk dalam Benua Asia, iaitu Asia Tengah, Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat. Benua Asia mempunyai penduduk paling ramai, iaitu lebih kurang 60 peratus daripada jumlah penduduk dunia.

Di Benua Asia terletak Banjaran Himalaya yang terpanjang di dunia; Gunung Everest yang tertinggi di dunia; Tasik Baikal yang terdalam di dunia; Laut Mati yang mempunyai air paling masin di dunia; Laut Kaspia iaitu tasik air masin terbesar di dunia, dan Selat Melaka yang merupakan selat terpanjang di dunia.

Benua Asia bermula dari garis bujur 28° Timur di Turki sehingga 170° Barat di Semenanjung Kamchatka dan dari garis lintang 10° Selatan sehingga 75° Utara. Benua Asia direntasi oleh Garisan Artik, Garisan Sartan dan Garisan Khatulistiwa.



Titik paling akhir Benua Asia terletak di Tanjung Piai, dalam daerah Pontian, Johor, pada latitud 01.16° Utara dan longitude 103.30.46° Timur .

Tanjung Piai terletak kira-kira 75 kilometer dari Bandar Raya Johor Bahru. Untuk sampai ke sini, jika perjalanan anda melalui Lebuh Raya Utara-Selatan, susur keluar ke Simpang Renggam menuju ke Benut. Teruskan perjalanan ke Pontian, kemudian ke Kukup. Setelah sampai di Kukup, ikut arah papan tanda yang menunjukkan jalan ke Tanjung Piai. Pada masa ini tiada perkhidmatan bas ekspres yang disediakan untuk ke Taman Negara Tanjung Piai. Perkhidmatan teksi boleh didapati dari stesen bas Pontian.



Tanjung Piai dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang dikenali sebagai pokok paku piai. Hutan bakau yang luas di sini digazetkan sebagai Hutan Simpan Paya Bakau oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Hutan bakau ini membentuk koridor paya bakau yang menyambungkan Pulau Kukup dengan tanah lembap Sungai Pulai.

Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur. Terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini. Di sini dikatakan terdapat lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai.



Pokok bakau melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan menghindari banjir, di samping memberikan perlindungan dan pembiakan ikan, ketam, udang, pelbagai jenis molaska dan binatang-binatang lain. Burung-burung hijrah akan singgah di hutan bakau untuk berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang semula ke kawasan yang ditujui.



Kini, Tanjung Piai diisytiharkan sebagai Taman Negara memandangkan di sini terdapat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan, hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna. Taman ini juga menjadi tempat kediaman pelbagai jenis unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam.

Sebelum diisytiharkan sebagai Taman Negara, Tanjung Piai adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan. Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997. Kajiselidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun 2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai dan digazetkan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.



Taman ini juga telah diisytiharkan tapak Ramsar pada 31 Januari 2003. Ramsar mengambil sempena nama sebuah bandar di Iran yang menjadi tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa yang pertama pada tahun 1971. Tujuan utama konvensyen ini adalah untuk memulihara tanah lembap yang merupakan tempat berehat dan mencari makanan bagi burung-burung hijrah.



Malaysia menganggotai Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atauRamsar pada tahun 1994. Tasek Bera di Negeri Pahang telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pertama negara ini pada tahun tersebut. Sehingga kini, antara kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Tapak Ramsar ialah Sungai Pulai, Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Johor dan Kuching Wetland National Park di Sarawak. Terdapat 26 kawasan lain di seluruh Malaysia turut dikenal pasti sebagai kawasan tanah lembap yang mempunyai kepentingan antarabangsa.



Bersebelahan pintu masuk ke Taman Negara Tanjung Piai dibina sebuah mercu tanda bagi menggambarkan bahawa Tanjung Piai ialah “Tanah Paling Selatan Benua Asia”. Mercu tanda yang berukuran 20 meter tinggi dan 10 meter lebar ini dibina oleh kerajaan negeri Johor pada tahun 2001. Bahan binaan mercu tanda ini ialah gentian konkrit mesra alam berwarna kelabu. Warna kelabu dipilih bagi menggambarkan kekayaan hutan paya pakau dan dataran lumpur yang terdapat di penghujung Benua Asia ini.

Pada permukaan mercu tanda diukir dua pelepah pokok piai raya (acrostichum aureum) bagi mengabadikan sejarah nama Tanjung Piai. Pokok piai raya didapati tumbuh dengan banyaknya bersama-sama pokok bakau di sini. Tanjung pula bermaksud tanah atau tanah tinggi yang menganjur ke laut. Peta dunia yang terpapar menjelaskan kedudukan sebenar “Tanah Paling Selatan Benua Asia” supaya dapat dihayati dan dihargai oleh para pelawat.



Sebelum masuk, anda perlu membeli tiket yang dijual di kaunter. Harga tiket adalah RM5 bagi dewasa (RM10 bagi pelancong luar negara) dan RM3 bagi pelawat yang berumur bawah 18 tahun (RM5 bagi pelancong luar negara). Kemudahan asas yang disediakan di sini ialah surau, tandas, kawasan perkhemahan, kaunter penerangan dan tempat meletak kenderaan.



Antaranya aktiviti pelawat yang datang ke sini adalah berkhemah, memancing, melihat kunang-kunang dan melihat pemandangan serta keindahan Selat Teberau. Pelancong, terutama pelajar boleh mendapatkan maklumat tentang hutan bakau dan maklumat lain yang dipamerkan dalam kawasan taman. Setiap maklumat disertakan gambar yang berkaitan supaya senang difahami.







Setelah masuk ke kawasan taman, terdapat laluan khas berupa jambatan kayu yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa destinasi. Terdapat laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing. Pelantar ini juga menjadi tempat pelancong menikmati keindahan Selat Melaka. Dari kejauhan kelihatan kapal-kapal yang melalui selat ini. Sewaktu cuaca cerah, Pulau Kerimon, Indonesia juga dapat dilihat dari pelantar ini.



Terdapat laluan untuk pelawat menuju ke destinasi yang mesti dikunjungi, iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka. Di pelantar ini dibina sebuah mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung di Benua Asia.

Thursday, November 13, 2014





JOM GI GANU!!!...
SERONOK SEH..
Terengganu merupakan salah satu negeri yang berada di pantai timur Malaysia yang mempunyai pelbagai tempat menarik untuk diterokai. Saya akan berkongsi beberapa tempat menarik di Terengganu yang mesti dilawati !!

Seperti yang tersedia maklum, Negeri Terengganu mempunyai pantai yang amat panjang dan mempunyai destinasi pulau-pulau yang cantik dan terbanyak di Semenanjung Malaysia.


Sebelum kita kupas satu persatu jom kita lihat terlebih dahulu destinasi makan-makan yang unik dan susah nak dijumpai di negeri lain.


Sekiranya korang sedang melawat bandar Kuala Terengganu, semestinya artikel ini wajib korang baca yang berkisarkan tempat-tempat menarik dalam 30 km radius dari Bulatan Batu Bersurat !


Tempat Menarik di Terengganu untuk Makan Makan


Ikan Celup Tepung (ICT) – Orang Terengganu memang suka makanan yang berasaskan sumber laut seperti ikan, udang dan ketam. Kalau di area Kuala Terengganu, beberapa destinasi untuk makanan laut celup tepung boleh ditemui dan sangat popular di sini seperti di Pantai Teluk Ketapang dan juga Mengabang Telipot.



Keropok Lekor – Tak perlu diperkenalkan lagi, Terengganu memang dah sah cukup sinonim dengan keropok lekor. Antara destinasi yang best untuk membeli keropok lekor ialah di Kampung Losong dan KedaiKeropok Lekor BTB 2209 di Kg Bukit Tok Bing.



Jangan terkejut, sekarang ni keropok lekor berkeju, keropok lekor lada hitam dan keropok lekor bawang berkeju sudah ada di pasaran. Satu kelainan yang amat jarang sekali untuk dijumpai di tempat lain.


Nasi Dagang – Nasi dagang juga merupakan salah satu makanan pagi yang amat popular di Terengganu dan destinasi yang best ialah di sekitar Dungun iaitu Warung Power. Sementara di Kuala Terengganu, satu destinasi yang amat popular sudah tentu di Kedai Nasi Dagang Mak Ngah.


Ketupat Sotong – Menu lauk makan tengahari dan juga boleh dimakan seperti bubur. Antara kedai yang popular di sekitar bandar Kuala Terengganu ialah di AZ Selera Timur manakala kalau di Kemaman ialah di Restoran Ani Selera Kampung.


Sata dan Otak-Otak – Kalau bercakap pasal makanan ini, destinasi yang amat popular sudah tentu di daerah Kemaman iaitu di Warung Aziz Sata. Selain Otak-otak kita juga boleh mencuba makanan lain di sini seperti pais sotong, udang dan ikan.





Keenakan Telur Penyu – Terengganu memang cukup sinonim dengan telur penyu. Kalau korang berminat nak rasa keunikan telur penyu ni, salah satu destinasi makan yang biasa orang pergi di Kuala Terengganu ialah di Restoran Mat Binjai.
Keindahan Pantai di Terengganu


Bandaraya Pesisir Pantai. Memang tak dinafikan Terengganu memang banyak lokasi pantai yang cukup menawan dan seronok untuk dilawati.


Namun, memandangkan pesisir pantai Terengganu ni di Laut Cina Selatan maka untuk aktiviti mandi di Pantai cuma beberapa pantai sahaja yang sesuai untuk mandi seperti di Pantai Pandak, Pantai Bukit Keluang dan juga di Pantai Teluk Bidara.


Sekiranya kita nak bersiar-siar dan berekreasi bersama keluarga, banyak pantai-pantai yang boleh dilawati untuk aktiviti yang menarik di sini dan pilihan CD sudah tentunya di Pantai Batu Buruk, Pantai Teluk Ketapang dan Pantai Bukit Keluang. 3 Destinasi pantai ini lebih meriah dan menyeronokkan kalau nak dibandingkan dengan pantai-pantai lain di Terengganu.


Namun sekiranya mahukan privacy atau tidak sesak dengan orang, destinasi pantai lain juga boleh dilawati dan keindahannya tetap mengusik kalbu. 

Rangkaian Pulau Terengganu yang Mempesonakan


Bercakap mengenai Pulau pula, Terengganu memang banyak pulau-pulau yang cantik dan menarik untuk pelbagai aktiviti yang lasak dan menyeronokkan seperti snorkeling, scuba diving dan sebagainya.

Pilihan terbaik semestinya ialah Pulau Redang, Pulau Perhentian dan juga Pulau Kapas.

Memang banyak lagi Pulau lain yang ada di Terengganu, namun 3 pulau ini merupakan yang terbaik kalau mahu bercuti ke pulau di Terengganu.



Destinasi Pilihan Untuk Membeli Belah di Terengganu


Kalau di Kuala Terengganu, memang tidah syak lagi Pasar Besar Kedai Payang wajib dilawati. Di sini memang banyak tarikan dan keunikannya yang tersendiri yang menjadikan Pasar Besar Kedai Payang salah satu destinasi pelancong luar.


Antara barangan yang menarik ada di sini ialah barangan kraftangan, batik, sutera terengganu, songket, keropok lekor, keropok keping, barangan tembaga, tudung, baju kelawar dan macam-macam lagi.


Pilihan Shopping Mall di Terengganu tidaklah terlalu banyak seperti di Kuala Lumpur atau Selangor. Dan antara yang paling popular di Kuala Terengganu ialah di Mydin Mall dan juga Giant yang bersebelahan. Kalau nak tengok wayang di Terengganu, memang susah, hanya satu destinasi je yang boleh kita tengok wayang iaitu di Mesra Mall yang terletak di Kertih, Kemaman, Terengganu.
Destinasi Air Terjun di Terengganu


Bagi saya, antara destinasi air terjun yang paling best ialah di Air Terjun Sekayu dan juga di Air Terjun Chemerong.


Kalau nak dikupas satu persatu memang banyak tempat menarik di Terengganu yang amat disyorkan untuk dilawati namun terpulang kepada kita sama ada kita suka destinasi yang bersejarah, flora dan fauna atau pun destinasi yang lasak.